Wednesday, January 11, 2012

Sejarah Bahasa Arab Di Kepulauan Melayu

Waktu ketibaan bahasa Arab ke Nusantara secara biasanya dan ke Malaysia secara khasnya masih tak dapat dipastikan dengan benar. Walau bagaimanapun, oleh kerana bahasa Arab bermaksud bahasa al-Quran dan al-Hadis yang menjadi sumber perundangan Islam, masa ketibaannya tidaklah sukar ditentukan jika ia dihubungkaitkan dengan waktu kedatangannya agama Islam.

Kehadiran Islam bermaksud kedatangan bahasa Arab kerana tidak akan dapat dipisahkan. Bahkan kedua-duanya saling utuh antara satu sama lain. Islam tidak akan dapat disebarkan tanpa menggunakan bahasa Arab sebagai alat komunikasi. hilang Islam sebagai isi kandungan, bahasa Arab sendiri tidak membawa apa-apa erti dan tidak akan menjadi perkara penting seperti sekarang.

Sebenarnya pelbagai teori kehadiran Islam ke kepulauan Melayu telah dibincangkan secara panjang lebar oleh sarjana tempatan dan sarjana Barat. Perbezaan antara pandangan tersebut adalah berkaitan dengan tarikh, kawasan dan faktor kehadirannya.

Secara amnya terdapat tiga pendapat utama tentang bagaimana cara Ketibaan Islam dan masanya ialah sama ada dengan pedagang dan mubaligh Arab atau pedagang India atau pedagang Cina.

Fatimi S.Q. berpendapat Kehadiran Islam ke tanah Melayu adalah secara berperingkat-peringkat. Hubungan paling awal ini diandaikan bermula pada tahun 671 Masihi iaitu pada abad ke-7 Masehi.

Hamka pula berpandangan bahawa ahli sejarah Sir Thomas Arnold mengangarkan Kedatangan Islam ke tanah Melayu adalah pada abad pertama Hijrah berdasarkan kewujudan hubungan perdagangan antara saudagar-saudagar Arab dengan Kanton dan Ceylon.

Seterusnya Abdul Rahman Abdullah pada 1990 berpandangan Islam hadir ke alam Melayu pada tahun 30 Hijrah iaitu pada zaman Khalifah Uthman Affan (644-656 Masihi).

Masyarakat Melayu masa itu secara umumnya boleh menerima istilah-istilah Arab dalam menjalani kehidupan hari-hari mereka. Oleh kerana itu kita berasa yakin untuk menggunakan perkara ini sebagai asas kukuh dalam belajar bahasa Arab di Malaysia.

Logiknya, jika perbendaharaan kata dan istilah Arab boleh dijadikan sebagai sebahagian daripada bahasa Melayu sejak berzaman bermakna tidak mustahil bangsa Melayu sekarang ini mudah untuk mengikuti pengajaran bahasa Arab.